Bangun pagi. Mengorak langkah lesu menuju bilik air membersihkan diri.
Solat Subuh.
Dipandang ke katil, kawan masih lena dibuai keenakan tidur. Berfikir sejenak...
lalu ana bangun menyiapkan diri ke kelas. Dia?
Sesi kelas selesai, kerja dan tugasan selesai, tinggal mahu memakai kasut dan bergerak pulang makan.
Bangkit dari kerusi.
Dipandang ke meja sebelah, kawan masih terkontang-kanting menyiapkan tugasan. Berfikir sejenak...
lalu ana bangun menuju pintu keluar untuk makan tengahari. Dia?
Penat berjalan, kini sudah tiba ke bilik. Duduk atas lantai bersimpuh menghadap jemput-jemput yang baru dibeli daripada pasar tadi.
Baca Bismillah.
Dipandang ke meja belajar, kawan sedang kekosongan sambil bermain 'tab 7.0'nya. Berfikir sejenak...
lalu ana terus menyuapkan makanan ke dalam mulut ana. Sedapnya. Dia?
Mementingkan diri.
Memikirkan waktu solat sendiri dan waktu ke kelas sendiri. Memikirkan kerja sendiri yang sudah siap. Memikirkan perut sendiri yang lapar.
Ya, mementingkan diri itu membawa kemurkaan Allah jika tidak dibetulkan.
Tapi, tahukah antum, ada cara nak mementingkan diri sendiri dan dalam masa yang sama, mendapat KEREDHAAN Allah, bukan kemurkaanNya?
Nak tahu? Kita ulang tayang, dan lihat perbezaannya.
Bangun pagi. Mengorak langkah lesu menuju bilik air membersihkan diri.
Solat Subuh.
Dipandang ke katil, kawan masih lena dibuai keenakan tidur. Berfikir sejenak...
lalu ana kejut kawan ana itu hingga dia pun menunaikan solat Subuh jua.
Sesi kelas selesai, kerja dan tugasan selesai, tinggal mahu memakai kasut dan bergerak pulang makan.
Bangkit dari kerusi.
Dipandang ke meja sebelah, kawan masih terkontang-kanting menyiapkan tugasan. Berfikir sejenak...
lalu ana bimbing kawan ana itu hingga kami dapat keluar dan makan tengahari bersama dengan kerja siap diselesaikan.
Baca Bismillah.
Dipandang ke meja belajar, kawan sedang kekosongan sambil bermain 'tab 7.0'nya. Berfikir sejenak...
lalu ana pergi kepada kawan ana itu, minta dia baca Bismillah, dan ana suapkan jemput-jemput ke dalam mulutnya. Sedapnya.
Setiap amalan ana, ana tak buat untuk orang lain. Untuk diri ana sendiri. Melakukan suruhan Allah, menjauhi larangan Allah, semuanya untuk ana sendiri.
Bukankah itu seakan-akan mementingkan diri?
Sebarkan kebaikan, kerana hasil daripada kebaikan itu untuk diri kita sendiri sebenarnya.
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment