Coretan Pemikiran

Nikmat yang paling berharga selepas Iman dan Islam, ialah sahabat yang soleh. -Umar alKhattab-

Isu 07: Pengganti Diri

Bismillah.

Tiga bayi comel berbalut kain cotton lembut berwarna warni saling beradu kuat tangisan.

Baru jam 0900 pagi!!!

Si ibu memandikan sambil berjenaka dengannya, bagaikan sudah fasih cik adik kecil itu berbahasa Melayu loghat Perak.
Ah, asalkan badan wangi dan bersih, cukup bahagia rasanya.

Riben putih di atas kepala,
Bersiap untuk beraya,
Entah kenapa,
Ummi tak bagi makan rendang atas meja,
Aish,
Tak sedar diri baru sebulan dua!
Haha,
Comelnya dia...

Sampai masa, bakal menghadapi perkara yang sama. Tapi, dengan bergelar ayah. Sudah layakkah ana mewariskan seorang khalifah?

Wallahu a'lam.

Isu 06: Tenang Hati Diuji

Bismillah.

Seringkali terasa sakit, sedih, tertekan, dan marah dengan hal-hal tertentu.
Ya, memang Allah takkan membebani seseorang hambaNya itu melainkan ianya layak dan mampu dilalui oleh dia.
Tapi, itu tak bermaksud kita takkan rasai kesemua perasaan disebut di atas. Terasa diuji, diasak dengan kuat, kengkadang teringin berhenti, berundur dari barisan hadapan.

Nah, ini cara yang Nabi Muhammad s.a.w tunjukkan kepada kita untuk melegakan dan menenangkan hati yang diuji.

1. Pandang langit Allah yang luas terbentang.
2. Usap janggut. (yang tiada janggut, dagu lah. hehe)
3. Ucap "laa hawla walaa quwata illa billah".

InsyaAllah, tenang hati. Malah, mungkin senyum terukir di bibir. Itu pengalaman ana lah.

Moga diperkuatkan untuk mengharungi ujianNya, dan disenangi perjalanan menuju redha Rabbi yang Maha Agung.
Wallahu a'lam.

Isu 05: Ayam berkokok

Bismillah.

Pagi.
Cerah sinaran matahari redup ditutupi awan putih tebal.
Sejuk angin sepoi-sepoi menampar pipi, menyelinap di celahan baju biru gelap lengan panjang ini.

Kok kokokkoook!!!
Ayam jantan depan rumah memulakan rutin laungan paginya.

Kok kokokkoook!!!
Ayam sebelah rumah menyahut. Kemain kuat lagi.

Seperti bermain kotak beracun, ayam-ayam jantan sekeliling rumah saling menyambut sahutan teman sejenis. Galak. Mesra.
Burung kelicap dan 'blackbird' pun tak mampu nak masuk campur bertanding suara.

Aah...
Seri pagi bahagia sebegini, sampai bila kewujudannya akan bertahan?

Wallahu a'lam.

Isu 04: Madrasah Ramadhan

Bismillah.

Pelbagai amalan terancang di kepala menjelang tibanya Ramadhan. Seperti biasa.

Ana ingat lagi saat sebelum tibanya Ramadhan tahun 2012.
"Anas, jom kita berlumba, siapa boleh khatamkan al-Quran dulu."
"Ramadhan kali ini, ana nak solat tarawikh 20 rakaat. Setiap hari dalam bulan mulia ini."
daaaann...... banyak lagi pelan-pelan yang ada. Haish, kenangan itu...

Baik. Dalam isu kali ini, ana nak kongsikan pencerahan yang ana telah dapat hasil 'Madrasah Ramadhan' tahun 2012.

Perasan atau tidak, ramai yang dalam bulan-bulan lain tidaklah sekerap mana beramal, tapi pabila tibanya Ramadhan, amalannya bertambah secara melambung tinggi.

Turning over a new leaf, we claimed.

Bukan ana nak menafikan perubahan baik ni. Perubahan itu, ana doakan supaya sentiasa terpahat dan menjadi amalan kekal kita sepanjang hayat.

Cuma, ana ingin menyingkap kepada kita tirai definisi sebenar 'madrasah' itu. Madrasah, seperti sekolah, universiti, dan kolej, ialah tempat belajar benda baru. Maksud mudahnya, penambahan.

Kita lihat diri kita pula. Siapa yang tak inginkan Syurga Allah? Siapa yang tergilakan Neraka Allah? Tak ada kan? Semua nak baik, itu la sebabnya semua kejar yang baik saja.

Maka, kita aplikasikan maksud madrasah ke dalam bulan Ramadhan mulia ini serta dalam perlumbaan kita mengejar kebaikan.

Daripada Aisyah r.ha., Nabi s.a.w bersabda: "Wahai manusia, lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit."
riwayat Bukhari dan Muslim

Dalam bulan Ramadhan, kita mencari perkara yang ingin kita terapkan dalam diri untuk menjadi amalan, dan dilatih. Amalan baru yang kita usahakan untuk masuk dalam hidup kita, yang kemudiannya menjadi darah daging kita sepanjang hidup selepas Ramadhan itu, itulah tujuan 'madrasah' Ramadhan.

Jadikan hari muka lebih baik daripada hari lepas.
Wallahu a'lam.

Isu 03: Jawapan untukmu yang Asing

Bismillah.
Masuk minggu ni, dah dua minggu ana mulakan satu perubahan yang kecil.

Memakai kopiah.

Seringkali ada persoalan bermain di kepala, yang mencetus dilema dalam benak hati.

Mengapa berubah?

Berkopiah, satu daripada perkara yang tidak selalu dibuat oleh orang ramai. Ayah ana memakai kopiah. Ustaz ana memakai kopiah. Mereka sering menyoal dan menggalakkan ana untuk memakainya juga, namun soalan itu masih belum terjawab.

Hingga kini.

Disoal kembali. Mengapa?

"Itu Sunnah."

Nah. Jawapannya sudah ada. Kini tinggal nak buat saja.

Sikit demi sedikit. Istiqamah.

Membudayakan Sunnah Rasulullah s.a.w yang tercinta, membuktikan cinta kita kepada baginda.

Wallahu a'lam.

Isu 02: Ikhsanlah pada Diri

Bismillah.
Kalau diikutkan skema jawapan yang diberikan, maksud ikhsan ialah kita beramal dan merasakan bahawa Allah sedang melihat kita, jika kita tidak merasakan begitu, maka sesungguhnya kita perlu tahu Allah melihat kita.

Satu perumpamaan yang cukup menarik; diberikan oleh saudara Hamzah dalam tazkirah subuhnya tadi,
Ali (bukan nama sebenar) sedang belajar di perpustakaan, lalu datang teman perempuannya yang duduk di depannya. Sepanjang masa, dia memerhati saja perbuatan Ali ni. Nak 'cover macho' kononnya, Ali duduk fokus pada pembelajarannya, sampai dua (2) jam pun tak berganjak, keras saja.

Begitulah perumpamaan antara manusia, yang ingin kelihatan baik dan terbaik di hadapan temannya yang lain.

Dan itulah juga bagaimana kita sepatutnya mengaplikasikan konsep ikhsan dalam hidup kita.
Bukan sekadar semasa solat, membaca al-Quran, tapi dalam setiap aspek kehidupan kita. Apabila kita merasakan setiap apa yang kita lakukan seharian adalah seperti kita sedang memerhati Allah, atau seperti Allah memerhati kita, maka adakah kita mahu lakukan sesuatu yang kurang baik, apatah lagi yang jelas buruk, di hadapan Rabb kita?
Ana pernah mengikuti pertunjukan kawad kaki sempena ulangtahun kelahiran Sultan Perlis. Ana tahu betapa tolol rasanya apabila melakukan kesilapan dalam kawad kaki tersebut yang disaksikan beribu-ribu orang.

Marilah kita muhasabah diri sentiasa.
Kita nakkan manusia lihat kita baik, apa yang kita dapat? Syurga?
Itu hanya milik Allah untuk tentukan. Jadi, tunjukkan kebaikan kita pada Allah dan Allah semata-mata.

Dua ayat yang perlu kita renungkan:
1. Being yourself is by being how Islam teaches us to be.
2. Tidaklah kita diciptakan untuk hidup dan mati melainkan untuk mengabdikan diri kepada Allah.

Wallahu a'lam.

Isu Perdana: Kematian yang Pasti

Bismillah.
Sudah sekian lamanya blog ana tak dibaja, disiram, dan dijaga dengan baik. Rasa serba salah terhadapnya dan terhadap para followers ana.
Dengan bermulanya Ramadhan tahun 2012 ini, insyaAllah ana berazam untuk menaip di sini sebiasa yang mungkin, kerna bagi ana, penulisan ini bakal menjadi satu aset bagi diri ana sendiri sebagai pelajar Masscomm, dan kepada semua yang membaca sebagai penambahbaik diri masing-masing.

Isu kita kali ini sangat jelas; kematian.

Ana pernah beritahu kawan ana, supaya ingatlah yang kita ni bakal mati bila-bila, dan respon dia,

"Mat, jangan buat aku takut..."

Takut? Ya, dalam pada itu, adakah enta tahu ana pun takut sama?
Memang kita sebagai seorang Muslim dan Mukmin tak sepatutnya takutkan mati.
Tapi kita sepatutnya takutkan kematian beserta dosa yang banyak tanpa taubat, tanpa pahala yang dapat melepasi jumlah dosa tu.

Sah!
Semua orang dah tahu yang lambat laun diri yang lemah ini akan menghadapi kematian.
Tapi tak ramai yang sedar yang diri mereka akan menghadapi saat kematian ini.

Kalau nak tengok jadual bas ekspres berlepas, boleh semak dalam Internet atau di stesen bas.
Tapi kalau jadual kematian, Internet 4G Maxis tu pun tak mampu nak tahu jadualnya.

Oleh itu, kepada diri ana sendiri dan antum semua, bila diseru untuk melakukan kebaikan dan menjauhkan kejahatan, mahukah kita balas, "saya belum bersedia?"
Oh, ana sedang cuba bayangkan kita sebut ungkapan itu kepada Malaikat Maut. Uish... seram...

Jom. Cermin diri sendiri dan jawab soalan ini, sudahkah kita bersedia untuk mati dalam keadaan kita ni?

Berubahlah kearah kebaikan. Sesungguhnya di tangan kita terletaknya pilihan untuk berubah.

Pakaian 'Trendy' Kita

Pemakaian itu penting.

Satu daripada tujuan berpakaian ialah untuk menutup aurat.

Mari kita baca sesi soal jawab tentang pemakaian di bawah:

Along: Apa criteria 'menutup aurat'?

Angah: Menutup aurat. Criterianya ada dua saja.

           Satu: tidak menampakkan bentuk badan. Maksudnya tak ketat.

           Dua: tidak menampakkan warna badan. Maksudnya tak jarang.

Along: Wah! Mudahnya! ^,^ Had aurat bagi setiap jantina pula?

Angah: Kalau lelaki, had aurat ialah antara pusat hingga lutut. Tapi, tak bermaksud kita boleh selamba rock je berjalan di khalayak umum dengan hanya seluar tiga suku tanpa baju. Seksi tu... Silap-silap ada yang tertawan, tu dah masuk isu yang lebih rumit, yakni bab fitnah.

Angah: Bagi perempuan, had aurat ialah keseluruhan tubuh kecuali muka dan tapak tangan. Tambahan pula, dalam alQuran ada sebut, perlu labuhkan tudung hingga menutup dada. Jadi, tak kisahlah nak pakai tudung pashmina ke, tudung bawal ke, tudung saji ke, atau kain langsir sekalipun, asalkan mengikut kriteria dua di atas dan tambahan kain tudung menutup dada ini, maka cukup lah.

Along: Ooooh... baiklah macam tu. Tapi kan, ada orang yang melambatkan dirinya untuk mula menutup aurat, katanya hidayah belum datang lagi.

Along: Rasanya mereka ni tidak sedar, mereka dah pun dapat hidayah, iaitu hidayah irsyad. Hidayah irsyad merujuk kepada mengetahui sesuatu perkara atau hukum. Yang mereka belum dapat, iaitu hidayah taufiq. Hidayah taufiq ialah kesedaran dan tindakan melakukan sesuatu.

Angah: Yeah. Seperti biasa, persoalannya samada nak atau tak nak mulakan. Itu sahaja, kan?

Wallahu a'lam.

*semua watak di atas adalah rekaan semata-mata, tiada kaitan dengan yang hidup atau yang telah mati.

Tokoh 1: as-Shiddiq

Mari kita imbau kembali sejarah kegemilangan tamadun Islam dan kita perhatikan tokoh-tokoh yang memberi sumbangan besar terhadap kegemilangan ini.

Bagi post-post yang mendatang ini, tidaklah ana mahu ceritakan tentang plot sejarah, tetapi ana akan mempamerkan secara ringkas tentang ciri-ciri tokoh-tokoh Islam yang boleh kita contohi.

Dalam post ini, ana akan membawa kita melihat seorang insan yang mendapat gelaran as-Shiddiq (yang membenarkan). Nama beliau yang dikenali ramai ialah Abu Bakar.

Rasa-rasanya, kenapa beliau mendapat gelaran as-Shiddiq?

Saja-saja?

Sedap mulut menyebut?

Tidak, melainkan ada pautan sejarah yang memulakan.

Apabila berlakunya peristiwa Israk Mikraj dan manusia semua meragui kebenaran kisah itu, Abu Bakar berkata,
"Andai Rasulullah menyatakan lebih daripada itu lagi (maksudnya lebih tidak masuk akal lagi daripada kisah naik ke langit), maka aku akan percaya."
dipetik daripada 'Batu-Bata Kehidupan' karangan Hilal Asyraf

Malah, beliau juga antara yang terawal memeluk Islam.

Tidak hairanlah sehingga beliau mendapat jaminan masuk Syurga Allah atas peribadi beliau itu.

Daripada Anas bin Malik r.a, beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda kepada Abu Bakar dan Umar,
"Inilah dua orang penghulu ahli Syurga yang dewasa di kalangan golongan yang terdahulu dan terkemudian melainkan para nabi dan para rasul." -Riwayat al-Tirmidzi-
dipetik daripada '300 Hadis Bimbingan' karangan Ustaz Zahazan Mohamed dan Ustaz Ahmad Hasan Mohd Nazam

SubhanAllah! Dahlah confirm masuk Syurga, penghulu pula tu.

Pengajarannya:

1. Percayakan sahabat-sahabat dan membenarkan kata-katanya.
Memang sukar untuk zaman sekarang ini melakukan sebegitu sebab ramai yang menganggap penipuan itu satu gurauan yang seronok. Tapi kalau ramai yang sebegitu, tak bermaksud mereka benar. Maka, kita yang sedar ini perlu memulakan langkah perubahan.

2. Keutuhan Iman dan Taqwa yang dibina dan dipertahankan.
Sukar sebab zaman kini penuh dengan agenda syaitan yang sentiasa mahukan kita masuk Neraka bersamanya. Di sini, strategi sangat penting. Istiqamah, penambahan ilmu, dan kumpulan sahabat yang sentiasa ingat-mengingati, serta nasihat berterusan adalah antara yang kita boleh lakukan untuk mengukuhkan Iman dan Taqwa kita.

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad s.a.w bersabda,
"Islam bermula dalam keadaan terasing. Ia akan kembali asing seperti permulaannya. Maka, berbahagialah untuk orang yang terasing." -Riwayat Muslim-
dipetik daripada '300 Hadis Bimbingan' karangan Ustaz Zahazan Mohamed dan Ustaz Ahmad Hasan Mohd Nazam
Mari kita menjadi pengganti Abu Bakar as-Shiddiq! ^,^

Erti CINTA hakiki

CINTA = Couple? Salah.

CINTA = Bersama ke Syurga? Betul.

Ada banyak persepsi, pengertian, pandangan, serta hujah yang diberikan oleh ramai orang tentang CINTA.

Bila diperkatakan tentang kerja rumah, ada yang merungut, kata "tu bukan masalah aku", "tu kerja adik-adik aku", "tu kerja perempuan", dan sebagainya.

Tapi bila sebut tentang CINTA, semua orang bagaikan profesor yang ada PhD CINTA. Awesome jiddan semua orang!

Mana taknya. CINTA itu berkaitan dengan semua orang, dan CINTA sangat dekat dengan hati.

Demi CINTA, semua sanggup berikan apa sahaja.

Demi CINTA, semua sanggup berkorban.

Maka, sebelum kita mengungkapkan CINTA kepada sesiapa, mari kita ketahui makna sebenar CINTA.

"Bersama ke Syurga"

Itu lah maksudnya yang sebenar, credits to saudara Hilal Asyraf.

Maka, marilah kita telusuri maksud itu.

Kalau betul CINTA, apa yang kita buat?

Pegang tangan, dating, minum dari satu straw, hasilkan anak luar nikah, bergayut sampai dua jam?

Apakah maksud CINTA itu ialah, "Saya sayang awak. Jadi, saya nak campak awak masuk api Neraka."
*masa baca statement ini, saya serius gelak guling-guling.

Pastikan bila kita nak sebut "Saya sayang awak." kita dah set dalam minda, "Saya sayang awak, dan saya akan pastikan awak masuk Syurga."

Bersama kita menCINTAi. Tak semestinya antara lelaki dan perempuan. BFF pun boleh.

Sebab kita nak jumpa orang yang kita CINTA itu di Syurga. Kan?

Dua Daging

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda (mafhumnya = pemahamannya):
"Di dalam badan manusia ini ada seketul daging, jika baik daging itu, maka baiklah badannya. Jika buruk daging itu, maka buruklah juga badannya. Itulah hati."

Kata-kata ahli ilmuan yang berkenaan satu lagi daging dalam badan manusia pula (mafhumnya):
"Lidah itu boleh menyelamatkanmu dan boleh membinasakanmu."
"Lidah itu lebih tajam daripada bilah pedang."

Pepatah Melayu pun ada mengungkapkan (mafhumnya):
"Terlajak perahu, masih boleh diundur lagi. Terlajak kata, buruk padahnya."

Maka, kaitan kedua-dua daging ini, sepertimana yang disebut oleh saudara Pahrol Mohd Juoi (mafhumnya):
"Perkara yang keluar daripada mulut seseorang, menggambarkan bagaimana keadaan hatinya."

Nouman Ali Khan: Watch Your Tongue

Kesimpulannya, bentuklah hatimu, maka keseluruhan anggotamu (lidah, tangan, kaki, dll.) akan ikut sama acuan hatimu itu.